
Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata di Pekan semalam bahawa tidak mungkin parti pembangkang dapat mengambil alih fungsi Perikatan dan BN yang selama ini kukuh menerajui negara serta membela nasib rakyat.
Sebagai penyokong kerajaan, saya setuju tetapi dari sudut seorang pemerhati, saya bimbang jika kenyataan seperti ini boleh memakan diri sendiri.
Sejarah dunia sudah melihat banyak perubahan sosiopolitik di negara yang selama ini dikuasai satu parti untuk sekian lama. Parti Liberal Demokrat (LDP) Jepun akhirinya tewas kepada pembangkang tahun lalu selepas memerintah negara Matahari Terbit itu kira-kira 54 tahun.
Di Amerika Syarikat, Republican dan Democrat silih berganti menerajui Rumah Putih. Di Korea Selatan, Filipina, Pakistan, Bangladesh, Australia, New Zealand dan banyak negara lagi, pembangkang yang suatu ketika dahulu sukar menembusi tembok parti pemerintah, akhir berjaya memenangi pilihanraya atau pungutan suara bagi membentuk kerajaan.
Di Poland, parti Soladirity pimpinan Lech Walesa yang pernah diharamkan dan dikecam hebat kerajaan, akhirnya berjaya juga membentuk kerajaan pada awal 90an. Sudah lupakah kita apa yang berlaku di Britain, Brazil, Canada dan Indonesia?
Sudah tentulah kita tidak sanggup Malaysia menjadi seperti Thailand di mana lima perdana menteri bertukar tangan dalam tempoh tiga tahun. Di Singapura pun, di mana PAP menguasainya hampir 100 peratus kerajaan, sudah wujud tentangan terhadap parti pemerintah itu.
Kim Dae-jung, tokoh pembangkang Korea Selatan yang pernah hidup dalam buangan pada 80an, berjaya menjadi Presiden negara itu pada 1998 walaupun untuk tiga tahun. Biarpun parti pemerintah ketika itu cuba menghalang kebangkitannya, suara rakyat ternyata lebih kuat menyokongnya.
Tidak ada yang tidak kena dengan parti pemerintah kebanyakan negara yang disebut di atas, kecuali keinginan pengundi untuk mencuba sesuatu yang baru, dengan harapan negara mereka disuakan dengan pembaharuan politik yang lebih menguntungkan.
Kita tidak harus melupakan 'kekalahan' BN di banyak kawasan Parlimen dan negeri pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Ia bukan saja berpunca daripada rasa meluat pengundi semua kaum terhadap parti masing-masing tetapi melonjaknya gabungan pembangkang menerusi janji pembaharuan mereka.
Najib mungkin lupa bahawa BN sekarang menghadapi masalah dalam sendiri. Komponen utamanya seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan masih bergelut dengan konflik dalam parti yang memungkinkan rapuhnya keutuhan parti serta menggugat kestabilan parti pemerintah itu.
Perdana Menteri sendiri tidak harus menolak wujudnya pelbagai kelemahan dalam Umno yang diterajuinya, betapa kemelut peringkat negeri dan bahagian masih membentuk banyak jurang di antara penyokong peringkat akar umbi dan ketua masing-masing.
BN boleh berbangga dengan rekod pencapaiannya memerintah Malaysia sejak merdeka tetapi kita juga tidak patut menolak meningkatnya sokongan terhadap parti pembangkang. Dalam pemimpin BN amat berminat memberi komen mengenai kelemahan dan masalah pembangkang, mereka nampaknya alpa dengan masalah parti sendiri.
Walaupun kita ingin melihat BN terus menerajui kerajaan, kita jangan terlalu yakin bahawa cara serta pendekatan kita hari ini dapat menjamin kita akan terus meraih undi yang banyak pada pilihanraya umum akan datang. Kita adakalanya terlupa bahawa dalam kita bercakap mengenai usaha membela rakyat, ia lebih berbentuk 'gimik politik' semata-mata.
Buatlah sebanyak mana projek besar untuk negara. Perkenalkanlah dasar baru yang mampu menarik minat rakyat tetapi jika projek dan dasar berkenaan hanya menguntungkan segelintir kaum sedangkan sebahagian besar rakyat tidak mendapat 'zatnya', ia tidak boleh dianggap sebagai pencapaian.
Jika kita masih melaungkan slogan dan retorik membela rakyat, kita perlu memastikan bahawa kita sendiri tidak terbabit dengan nepotisme dan kronisme. Tidak ada gunanya kita menyuakan benda yang sama kepada rakyat sedangkan kita sendiri lihat tidak bersih, tidak cekap dan tidak amanah dalam memikul amanah yang pengundi berikan.
Ingatlah! Malaysia tidak mungkin menjadi negara milik satu parti sehingga akhir nanti jika pemimpin yang ada gagal memberi jaminan bahawa kesinambungan itu akan terus memanfaatkan mereka.
Dan sedarlah bahawa sebagai kerajaan, kita memang memiliki segala kuasa dan keupayaan untuk merangka rancangan pembangunan negara. Jika pembangkang mengambil alih Putrajaya pun, mereka akan memiliki kuasa dan kelebihan yang sama kerana semua kementerian, terutamanya Kementerian Kewangan, ada dalam tangan mereka.
Rakyat memang maklum bahawa pembangkang tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak ada kuasa. BN juga tidak akan dapat berbuat apa-apa jika menjadi pembangkang. Lupakah kita kepada Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? Jika kita menuduh pembangkang di Johor, Melaka dan negeri lain tidak mampu berbuat apa-apa untuk rakyat, mampukah BN di negeri yang dikuasai pembangkang?
Kerana itulah kita perlu berhati-hati dalam setiap gerak laku. Tidak perlu kita mendabik dada bahawa BN tidak ada tolok bandingnya di negara ini.
Politik adalah seperti bola sepak. Ketika rakyat Malaysia asyik berkiblatkan bola sepak Britain yang dianggap terbaik di dunia, mereka lupa bahawa taraf dan mutu negara lain seperti Korea, Jepun, China, Arab Saudi, Iran, Qatar dan negara lain sedang meningkat dan mampu menyaingi England. Hanya bola sepak Malaysia makin merudum...