Dalam Bab 1, saya menyebut bahawa kemelut Istana Mahkota Kelantan bukannya berpunca daripada dalam tetapi campur tangan pihak luar. Bab 2 ini menyentuh bagaimana krisis ini bermula, apa sebenarnya terjadi, kesannya terhadap rakyat, fungsi kerajaan negeri dalam menghadapinya serta reaksi Kerajaan Pusat terhadap semua perkembangan ini.
Pada 14 Mei 2009, Sultan Kelantan jatuh gering dan dimasukkan ke Unit Rawatan Kardiologi (CCU) Hospital Universiti Sains, Kubang Kerian. Baginda sebenarnya diserang 'stroke' ketika dalam bot peranginan di perairan Pulau Perhentian, Terengganu.
Dari sinilah tercetusnya tohmahan kononnya Raja Perempuan, Tengku Anis berbuat khianat terhadap Sultan dengan cara menolaknya hingga jatuh di bilik air istana. Ini didokong pula oleh banyak pembohongan pihak tertentu kononnya Tengku Anis berbuat demikian selepas mengetahui baginda sudah beristeri baru (
kita akan bongkar hal ini kemudian).
Tengku Anis turut dihujani pelbagai fitnah, antaranya enggan mengiktiraf anakanda sulungnya, Tengku Faris sebagai pemangku raja dan sebaliknya ingin memahkotakan Tengku Fakhry, jika sesuatu terjadi kepada baginda Sultan. Walhal Tengku Temenggong (Fakhry) sendiri langsung tidak menyimpan hasrat menjadi Sultan, apa lagi untuk menolak hakikat bahawa Tengku Mahkota (Faris) adalah lebih berhak daripadanya.
Tengku Anis juga diperburukkan lagi dengan khabar angin berbentuk hasutan kononnya baginda merampas tanah rakyat untuk Projek Di-Raja Kelantan (PDRK) sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah, istana memantau tanah rakyat yang tidak dimajukan dan terbiar dengan mengambil alihnya melalui perbincangan dan ia kemudiannya dimajukan dengan pelbagai projek seperti pertanian. Apabila sesuatu projek itu sudah maju, ia akan diserahkan semula kepada tuan punya tanah.
PDRK ini ternyata mencemar nama baik Raja Perempuan sehinggakan ramai rakyat Kelantan sendiri menuduh istana sebagai perampas hak mereka. Tukang fitnah ini bukan saja dari kalangan pegawai yang bertugas di istana malah kakitangan kerajaan negeri yang mempunyai motif tersembunyi (
akan diulas kemudian).
Apa yang mendukacitakan seluruh isi Istana Mahkota ialah khabar angin yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya keluarga diraja ini sudah berpecah belah padahal hubungan merek

a tetap akrab seperti sebelumnya.
Pada 24 Mei 2009, baginda dipindahkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura apabila keadaannya tidak banyak berubah.
Sejak detik inilah ada pihak tertentu di kalangan pegawai istana yang memulakan kempen ingin memecahbelahkan keluarga diraja ini demi memelihara kepentingan sendiri, satu pihak yang mahukan Faris menjadi sultan manakala satu pihak lagi mengapi-apikan Fakhry agar menentang perlantikan kekandanya sebagai pemangku sultan.
Pada hari yang sama baginda dihantar ke Singapura, Majlis Perajaan Negeri (MPN) mengumumkan perlantikan Tengku Mahkota sebagai Pemangku Raja.
Beberapa hari kemudian iaitu pada 28 Mei 2009, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) bertindak menukar lima pegawai kanan kerajaan negeri, termasuk pegawai kewangan negeri, pengarah tanah dan galian, ketua jajahan Kota Bharu dan setiausaha sulit Sultan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan ditempatkan dalam satu bilik 'pool' untuk dikongsi bersama. Langkah ini benar-benar mengejutkan banyak pihak. Sehingga ini, kerajaan negeri tidak memberi sebarang penjelasan mengenainya.
Sekitar bulan Jun 2009, baginda Sultan mula menunjukkan perubahan positif di Singapura dan sedar dari koma. Ini amat menggembirakan seluruh kaum kerabat dan rakyat jelata yang mendapat khabar mengenainya.
Oleh kerana baginda Tuanku masih di bawah pengawasan rapi, hanya pembesar negara dan kerabat terdekat dibenarkan melawatnya. Dalam tempoh Julai-Ogos 2009, baginda mula menerima pelawat. Bagaimanapun, waktu lawatan dihadkan agar tidak menjejaskan kesihatan baginda,
Begitupun, ada cubaan individu tertentu cuba menyelinap masuk ke kamar rawatan baginda selepas jam 12 tengah malam. Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan antara orang yang cuba berbuat demikian ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan pada kira-kira jam 3.30 pagi. Apa maksud dan motifnya berbuat demikian, tidaklah diketahui tetapi ia amatlah mencurigakan. Sejak itulah kawalan diperketatkan di pintu masuk ke kamar rawatan.
Sehubungan itu, anggapan sesetengah pihak yang mendakwa Raja Permaisuri tidak membenarkan kaum kerabat dan pembesar lain menziarahi baginda Tuanku, adalah salah sama sekali kerana ada antara mereka enggan mematuhi waktu serta jadual lawatan.
Pada 8 Oktober, timbul perselisihan faham di antara pengawal peribadi Pemangku Raja dengan pegawai keselamatan Raja Perempuan serta Tengku Temenggong, sehingga satu laporan polis dibuat di Republik itu.
Berikutan itu, atas hasutan pihak tertentu, Pemangku Raja melucutkan keahlian Tengku Temenggong dan empat yang lain daripada Majlis Perajaan Negeri serta menarik balik semua darjah kebesaran, termasuk Jaksa Pendamai daripada beberapa orang yang selama ini rapat dengan Raja Perempuan dan Tengku Temenggong. Tindakan Tengku Faris ini dipercayai didorong oleh desakan pihak tertentu yang ingin melihat keruhnya hubungan keluarga diraja berkenaan.
bersambung...