Hari Kemerdekaan lebih kurang sebulan lagi. Tabung Rayuan Hari Pahlawan, sepertimana lazimnya dan membawa matlamat yang sama, sudah pun dilancarkan. Iklan mengenainya terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen.
Bila agaknya kita menderma untuk Tabung Pahlawan ini? Bila pula agaknya kali terakhir kita melawat Tugu Negara yang menjadi simbol perjuangan serta pengorbanan perwira kita dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara pada masa silam?
Saya ke sana hari ini, bukan untuk menghidupkan nostalgia tetapi untuk melihat keindahan lanskapnya. Begitunya, melihat Tugu Negara benar-benar membuat saya hiba. Di manakah agaknya keluarga wira kita yang terkorban pada zaman menuntut kemerdekaan, darurat dan ketika memerangi komunis?Saya kenal ramai bekas anggota polis dan tentera. Ada hidup 'okay' tetapi ramai juga yang hidup seolah-olah tidak terbela. Yang terpaksa mengemis pun ada. Bagi yang bernasib baik sikit akan mengusahakan bengkel, memandu teksi dan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan.
Maksud saya menulis artikel ini ialah untuk menyentuh soal 'pembelaan'. Sama ada kerajaan atau badan yang mewakili pesara polis dan tentera, sejauh manakah sumbangan yang diberi serta fungsi yang dimainkan dalam menangani masalah pesara polis dan tentera.
Tahukah anda bahawa Persatuan Bekas Polis yang ditubuhkan pada 1972 sebenarnya tidak ada duit langsung.
Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang sepatutnya berfungsi sebagai payung di waktu hujan bagi ahlinya, langsung tidak ada dana. Yilek! Tak ada duit langsung.
Saya tidak tahu bagaimana tabung ini ditadbir dan diuruskan tetapi yang nyata, ia memang tidak ada wang. Jadi, macam mana nak bantu ahli yang kesusahan?
Mungkin Datuk Seri Najib dan memberi bertanggungjawab, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dapat menjenguk keadaan ini dan mencari jalan penyelesaiannya. Ada khabar angin menyebut persatuan itu sekarang ditadbir oleh dua nakhoda!
Begitu juga Persatuan Bekas Perajurit. Sukar bagi ahlinya yang berdaftar untuk mengadu hal dan masalah.
Beginikah caranya kita menghargai golongan yang banyak berjasa kepada negara? Apa gunanya berpersatuan jika masih ada ahlinya yang hidup melarat dan tidak terbela?
Elok juga kita meluangkan masa sedikit melawat Tugu Negara. Semangat pejuang dan wira negara ini akan dapat kita rasa...


