Tuesday, July 14, 2009

Manek terb'Urai'!

Manek Urai terus menjadi milik Pas. Calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50 menang dengan majoriti tipis 65 undi apabila memperolehi 5348 undi berbanding calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang meraih 5283 undi.

Memang sengit. Rata-rata Umno mampu meningkatkan sokongannya pada pilihanraya kecil ini. Biarpun tewas, usaha menarik sokongan terhadap kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai persediaan menghadapi pilihanraya umum ke-13 akan datang, sudah membuahkan hasil.

Dari awal lagi, saya sudah menjangkakan pertarungan sengit. Biarpun saya tidak langsung memberi peluang kepada BN dalam posting saya sebelum ini, saya melihat banyak perubahan di segi sikap dan penerimaan pengundi Manek Urai terhadap kerajaan yang ada sekarang.

Umno sudah berusaha membuat yang terbaik. Peningkatan sokongan terhadap kerajaan Najib sudah cukup memberi petanda bahawa beliau makin diterima rakyat di seluruh negara, termasuk di Kelantan sendiri.

Begitupun, beberapa isu mengenai kerajaan Najib yang dirungutkan oleh penduduk Manek Urai dirasakan tidak sampai kepada Perdana Menteri sendiri. Mungkin Tan Sri Muhyiddin menyifatkannya terlalu 'kecil' untuk dimaklumkan kepada Najib. Begitu juga Datuk Mustapa Mohamed.

Kerajaan 100 hari Najib sudah memperkenalkan banyak pembaharuan dan rancangan pembangunan. Slogan 1Malaysia amat diterima baik oleh rakyat. Pemansuhan PPSMI juga disambut baik dan dipuji demi memartabatkan bahasa ibunda.

Misi 'Rakyat Diutamakan' turut membantu calon Umno memberi banyak tentangan terhadap Pas, apalagi dengan keadaan yang hampir disifatkan 'tiada isu langsung' di pihak pembangkang, kecuali isu lama yang diperbaharui.

Tempoh kempen berjalan lancar dan aman. Cuma satu dua insiden di hari pembuangan undi yang sedikit mencacatkan harapan semua pihak agar proses mengundi diharungi tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Apa yang cuba saya bentangkan di sini ialah, punca di sebalik kekalahan Umno. Walaupun majoriti Pas menjadi terlalu tipis, angan-angan beberapa pemimpin BN untuk merampas semula Manek Urai banyak bergantung kepada isu yang disuarakan rakyat, yang mereka anggap terlalu 'remeh'.

Selepas 100 hari menjadi PM, Najib memang diterima baik. Ramai penduduk Manek Urai mengiktiraf beliau sebagai pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat. Apa tidaknya, slogan 'Rakyat Diutamakan' sudah memberi gambaran bahawa Najib memang mementingkan kehendak mereka.

Begitupun, dalam usaha Najib menjana pembangunan negara, mungkin beliau bergerak terlalu pantas dalam tempoh 100 hari pertamanya. Pengenalan terlalu banyak program pembangunan, insentif dan kemudahan, beliau dilihat boleh 'tersadung' dalam melaksanakan semua itu.

Jika kerajaan beliau kekal untuk tempoh satu atau dua penggal, mungkin banyak lagi pembaharuan akan diperkenalkan tetapi dalam beberapa hal, bukan semua rakyat 'memberkati' pendekatan sedemikian.

Isu BN (yang disebut sebagai Bini Najib), royalti minyak yang dituntut oleh Kelantan (yang dinafikan oleh kerajaan dan Petronas), isu Altantuya Shaariibuu dan penghapusan kuota 30 peratus Bumiputera dalam pemilikan ekuiti syarikat asing dan bukan Bumiputera, amat 'menggigit' sanubari orang Melayu sendiri.

Langkah meliberalisasikan sektor kewangan dan perkhidmatan adalah isu utama yang dibincangkan oleh orang Melayu, termasuk di Manek Urai sendiri.

Dua sektor ini masih kurang penyertaan Melayu. Jika ada pun, mereka hanya duduk seperti melukut di tepi gantang. Jika mereka cuba bersaing dengan bangsa lain dan orang asing, nescaya mereka tidak memiliki peluang yang banyak.

Dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun akan datang, penyertaan Bumiputera di kedua-dua sektor ini mungkin tiada langsung. Masalah mereka yang terbabit di sektor ini, terutamanya perkhidmatan, kurang didengar oleh wakil kerajaan, apalagi untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada bank.

Seruan kerajaan agar bank melonggarkan syarat pinjaman perniagaan, memang tepat pada masanya tetapi kebanyakan yang ditolak adalah permohonan orang Melayu. Monopoli kedua-dua sektor ini tidak pernah menjadi milik orang Melayu, malah tidak akan dikuasai mereka jika agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan membantu mereka hanya bertindak sekadar melepaskan batuk di tangga.

Saya lihat isu ini boleh menjadi 'bom jangka' suatu hari nanti jika kerajaan tidak betul-betul memastikan bahawa orang Melayu dibantu sewajarnya bagi meningkatkan daya saing mereka di pasaran terbuka.

Sebagai contoh, produk orang Melayu amat sukar menembusi pasar raya besar di negara ini. Jika diterima pun, ia akan diletakkan di rak paling bawah.

Satu isu lagi yang mengejutkan saya di Manek Urai ialah mengenai 'kebenaran' Najib berbual selama 20 minit dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama baru-baru ini. Walaupun Manek Urai amat terpencil, ada antara golongan terpelajarnya yang mampu menyorot isu itu di laman Internet.

Ada yang menunjukkan kepada saya 'print-out' kenyataan akhbar yang kononnya dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, yang menafikan perkara itu.

Begitu juga isu kononnya Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew menemui Datin Seri Rosmah Mansor secara berasingan ketika dalam rangka lawatannya selama seminggu ke Malaysia baru-baru ini. Isu yang disebut di sini, patutkah Kuan Yew berbuat demikian dan apa fungsi Rosmah di dalam hubungan Malaysia-Singapura.

Kontrak yang sebelum ini dikatakan banyak diberikan kepada Rosmah (ketika Najib belum menjadi PM) turut mengisi desas-desus di Manek Urai. Bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menyebut perkara ini pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sepanjang tempoh berkempen, kerajaan mengumumkan banyak 'gula-gula' untuk penduduk Manek Urai, termasuk jambatan, sekolah baru dan sebagainya. Seperti juga pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Januari lepas, terlalu banyak janji ditabur sedangkan rakyat sudah lama 'disogok' dengan benda seperti ini.

Selama lebih 20 tahun di bawah Pas, penduduk Manek Urai hidup sederhana. Biarpun hampir tidak ada langsung projek baru diberikan, mereka mempunyai pendirian bahawa siapa pun yang memimpin Kerajaan Pusat, nasib hidup mereka tidak akan berubah. Daripada itu, eloklah menyokong Tok Guru.'

Keputusan pilihanraya kecil ini pun tidak disiarkan secara langsung oleh rangkaian televisyen Media Prima. Pengumuman hanya disiarkan sebagai nota kaki. Lainlah jika keputusan berpihak kepada BN, pengumumannya akan dibuat secara langsung.

'Sour grapes', kata orang putih. Memang benar, adakalanya media yang merosakkan peluang BN untuk menang.

Renungkanlah....

10 comments:

Anonymous said...

bujai

apsal dgn ko lantang sangat ni kutuk bn. lu kecewa kah pasal tak dapat masuk berita harian semula

anak muar

bro brotherhood, said...

As-Salam Bro BJ,..heheh,..apo nak dikato,.. pedih tapi itu lah hakikatnya,..d only way to win back d rakyat is to counter most of d allegations instead of silence of d lamb,..wakaka,..anothr reason PAS won due to luck,..heheh,..ape tak nya bro undi PAS masuk syurga & undi UMNO masuk neraka,..wat else can I say,..heheh,..(,")

Pray to Allah d Almighty to open up d hart & conscience of d fanatical followers of PAS & bro AnWar,.. NWO 2012 agenda is still on,..wat else can I say,..(,")

Anonymous said...

Alahai kat Manik Urai bukan ada tol yg kena sampai 80 kali baru dapat diskaun kawan oii...

Pulak tu calon UBN Pengurus Kesedar dan lawan rakyat biasa penjual ikan.

Perantau banyak yg tak mahu balik sebab nak kumpul cuti raya.

Selagi malaun UBN yg rasuah dan dok lari duit rakyat bebas selagi tu la UBN akan kalah.

Gigi

gogok said...

very slim margin, bro. in the next pru, i am sure bn will win

suka manek said...

waaa... mulut lu memang jahat. dulu lu hantam bukit gampang, ni terburai pulak.

tapi gua suka cara lu. walaupun lu sokong kerajaan, lu berani kritik benda yang betul.

cuma jangan diorang angkut lu kat rumah, sudah la

dr fatin said...

saya percaya umno akan mampu merampas semula manek urai dan kelantan pada pilihanraya umum akan datang.

seperti yang sdr kata, rakyat mula menerima pembaharuan yang dibuat oleh najib.

apa yang berlaku di manek urai adalah permulaan yang jelas menunjukkan sokongan terhadap pas makin merosot.

kita perlu bergerak ke arah jalan yang benar, demi masa depan anak cucu kita nanti.

Anonymous said...

i heard about the lies about this obama conversation.

is it true?

Wong Pencen said...

Sudah bertahun-tahun media arus perdana diingatkan bahawa tindakan mereka memang lebih banyak membawa keburukan dari kebaikan kepada UMNO dan BN. Begitupun mereka masih terus bertindak dengan cara yang sama.

Mereka dikatakan sebagai dikuasai oleh UMNO dan BN. Sekiranya benar, maka UMNO dan BN yang sebenarnya memutuskan bagaimana media arus perdana ini bertindak.

Mungkin kerana UMNO dan BN masih tidak tahu bagaimana untuk berubah, maka media mereka pun terus alpa dan tidak tahu dan tidak mahu berubah.

Anonymous said...

hahaha! next election BN akan bungkus terus. ramai ibubapa sangat marah PM dan DPM yang akur kepada desakan pihak2 tertentu. ramai yg kata " we will punish the leaders in the next election for messing up our children future."

Non-partisan said...

Apabila UMNO kalah besar dalam beberapa siri p/raya kecil sebelum ini, mereka menyatakan keputusan p/raya tersebut tidak boleh dijadikan petanda kepada prestasi parti itu dalam p/raya umum akan datang.

Kini setelah kalah tipis kepada PAS di MU, dengan megah mereka mencanangkan di sana sini pengundi sudah beralih menyokong parti itu dan memberi petanda yang amat positif dalam p/raya yang akan datang.

Perlu sedar landskap politik dan ekonomi berbeza dari satu negeri ke satu negeri. Apapun kita tunggu kalau-kalau ada lagi p/raya kecil. Apa pula lagu yang akan dinyanyikan UMNO?