Saturday, March 28, 2009

Masa untuk berubah...

Saya antara orang yang cukup gembira di akhir perhimpunan agung Umno ke-59 hari ini. Munculnya Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas utama, menjulang tangan Pak Lah di sebelah kiri dan Najib di sebelah kanan, cukup menggambarkan bahawa pertukaran arus kepemimpin parti kali ini mendapat restu pelbagai pihak.

Tidak kira apa pun tanggapan umum mengenai peristiwa bersejarah ini, ia mencerminkan betapa Umno memang teras perjuangan yang menyatukan sebahagian besar orang Melayu di negara ini. Perkongsian semangat inilah yang mampu merapatkan semula semua barisan dalam Umno, tidak kira apa peringkat pun.

Pak Lah sudah berundur sebagai presiden. Seharusnya kita sebagai orang Melayu dan Islam melepaskan beliau dengan dada terbuka. Beliau sendiri sudah meminta maaf di atas kelemahannya yang ada dan di atas mungkin wujudnya kepincangan dalam pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.

Najib mempunyai tugas yang berat selepas ini. Beliau bakal mengambil alih tugas ketua nombor satu negara ketika Malaysia turut dibelenggu krisis ekonomi akibat runtuhnya sistem perbankan dan bursa saham seluruh dunia. Tugas mempertahan dan mencari formula baru bagi mengekang kesan buruk ekonomi ini bukan satu yang mudah kerana kegagalannya akan memudaratkan seluruh negara.

Ekonomi Malaysia dijangka menguncup kepada 0.5 peratus tahun ini dan mungkin kepada sifar jika pengurusan makroekonominya gagal memberi kesan sebagaimana yang digariskan di dalam Bajet Mini yang memperuntukkan RM60 bilion baru-baru ini. Jatuh-bangunnya ekonomi negara akan memberi kesan secara langsung kepada keadaan sosio-politik rakyat berbilang kaum, yang selama ini bergantung kepada pakej rangsangan itu.

Di dalam Umno sendiri, perubahan besar akan dibuat ke atas cara pemilihan pemimpin peringkat bawah dan tertinggi, biarpun ura-ura agar kesemua 3 juta ahlinya diberi peluang mengundi pada pilihanraya parti akan datang. Begitupun, Majlis Tertinggi boleh bermesyuarat dan meminda Perlembagaan Umno untuk membolehkan cara ini diperkenalkan.

Penerimaan ahli akar umbi terhadap Ketua Wanita, Datuk Shahrizat Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin perlu juga diberi perhatian jika Umno mahu bergerak kukuh tanpa sebarang masalah dan pertikaian dalaman.

Memang ramai yang tidak puas hati dengan kemenangan Shahrizat dan KJ. Malah, kemenangan beberapa calon lain juga dipertikai, termasuklah naib presiden, Hishamuddin Hussein yang sebelum ini dikecam hebat kerana isu pendidikan sains dan matematik dan Bahasa Kebangsaan (PPSMI).

Kedudukan bekas naib presiden, Datuk Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka juga mula disebut oleh kalangan perwakilan dan pemerhati di PWTC kali ini. Selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno di atas kesalahan 'politik wang' seminggu sebelum beliau bertanding kerusi timbalan presiden, ramai berpendapat ada baiknya Ali berundur dan digantikan oleh orang lain.

Kedudukan KJ juga tidak berapa kukuh. Cara beliau diejek dan di'boo' memperlihatkan betapa orang Melayu, terutama di kalangan ahli Pemuda, masih tidak senang dengan keputusan pemilihan dan masih berpegang kuat kepada pengaruh fitnah yang dilemparkan terhadapnya. Malah, yang ada melihat kekalahan Mukhriz dan Khir Toyo seolah-olah sudah diatur oleh Pak Lah agar KJ diberi peluang.

Begitulah hodohnya sikap orang Melayu dunia moden ini, yang masih berpegang kuat kepada apa yang didengar dan bukan kepada apa yang sebenarnya berlaku. Inilah yang dipesan oleh Pak Lah pada perhimpunan agung ini, agar orang Melayu menghentikan fitnah dan buruk sangka sesama sendiri.

Kumpulan Rafidah, yang bergegas meninggalkan PWTC sejurus sebelum keputusan Ketua Wanita diumumkan, turut memberi teladan tidak baik kerana enggan menerima kekalahan dan tidak mahu menerima kekalahan. Pada mereka, Rafidah perlu diberi peluang memimpin sayap itu walaupun sudah 20 tahun mengetuainya. Hal yang sama berlaku pada 1996 apabila beliau tewas kepada Zaharah Sulaiman.

Seperti kata Najib, semboyan sudah berbunyi. Begitulah juga dengan Umno. Rumah siap, pahat berbunyi. Masih ramai yang tidak puas hati. Masih ramai yang enggan menerima kekalahan. Masih ramai yang enggan menerima kenyataan. Masih ramai yang menjadi fanatik seseorang calon dan masih ramai yang tidak dapat menerima hakikat bahawa cara buruk inilah yang akan menghancurkan masa depan Umno, dan bukannya disebabkan calon yang menang.

Mengapa tidak? Jika sikap buruk ini berterusan, akan wujud pelbagai kem dan kumpulan dalam parti. Melayu lawan Melayu. Hanya kerana mahu menjadi hero politik dan terus menyokong calon yang kalah, porak peranda tidak boleh dielakkan.

Calon yang menang tetapi tidak disukai perlu membuktikan bahawa kemenangannya memang berbaloi. Khidmat tidak berat sebelah terhadap semua pihak dalam parti harus diutamakan agar tidak wujud prasangka dan rasa tidak enak di kalangan ahli. KJ, terutamanya, mempunyai tugas amat berat bagi merapatkan hubungan dalam Pemuda. Beliau memerlukan kerjasama Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yassin lebih dari segalanya agar kedudukannya diterima, sekurang-kurangnya sebelum pemilihan akan datang.

Banyak perkara perlu berubah, selain sikap buruk Melayu dalam Umno ini. Pendekatan pemimpin terhadap ahli akar umbi juga memerlukan 'post-mortem'. Rajin-rajinnya turun ke bawah untuk meninjau keadaan dan jangan hanya berpuas hati setakat mendengar laporan ketua cawangan, ketua bahagian dan ejen politik mereka saja.

Ahli dan rakyat perlukan lebih daripada perhatian. Dalam tempoh sekarang hingga empat atau lima tahun akan datang, makin ramai akan dibuang kerja, menjadi penganggur dan menjadi miskin kerana masalah ekonomi. Kadar jenayah dijangka meningkat apabila makin ramai hilang pertimbangan untuk mencari sesuap nasi.

Semua ahli mestilah bersatu dan berganding bahu mencari penyelesaian. Politik Melayu memang perlu ditegakkan tetapi pandangan terhadap politik juga perlu dirungkai agar membawa kesan yang baik kepada semua ahli. Tidak semestinya kita sebagai ketua bahagian dan perwakilan memiliki kuasa mutlak dalam membuat pemilihan. Kita hanya seorang ketua bahagian berbanding beribu-ribu ahli!

Ingatlah, Umno masih lemah di banyak peringkat. Mengapa? Kerana ahlinya yang bersifat taksub kepada calon dan lebih rela berjuang untuk calon daripada kepentingan parti, bangsa dan negara Malaysia. Cara mereka berfikir jugalah yang akan menjahanamkan masa depan parti kerana kekolotan itu bakal menjerumuskan mereka ke dalam kancah pertikaian dalaman.

Kepada Najib, ingatlah bahawa segala yang terpikul di bahunya mulai hari ini akan menentukan masa depan negara, rakyatnya, Melayu dan agama.

Selamat berjuang...

14 comments:

Ahmad A Talib said...

Jai,
aku rasa usaha umno untuk memperbaikki keadaan dalamannya amat baik sekarang. kita tunggu apa tindakan pemimpin atasan dalam seminggu dua ini..setuju?

hj murad, banting said...

kalau nak berubah, semua kena berubah. dari pemimpin no 1 hinggalah ke pemimpin cawangan. jangan jadikan ahli akar umbi sebagai batu loncatan untuk meraih sokongan dan keuntungan peribadi.

saya sudah lebih 40 tahun jadi ahli umno. setiap dekad berlalu, banyak unsur tidak baik makin melanda parti. saya sendiri sedih kerana politik umno sekarang merujuk kepada wang dan tidak banyak yang berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

apakah yang dapat kita sajikan kepada anak-cucu kita dalam 10, 20 atau 30 tahun lagi apabila kelompok tertinggi umno hanya dikuasai oleh mereka yang memang sudah jadi jutawan atau yang sudah ada darah keturunan bekas pemimpin umno sendiri?

ini perlu diubah. ahli umno memerlukan lebih daripada pemimpin berwibawa. mereka perlukan sebuah parti yang benar-benar melayu dan bersifat malaysia.

Anonymous said...

what is there to change, bro?

everthing will remain the same after each general assembly...

siuman said...

UMNO BOLEH HANCUR JIKA AHLINYA SENDIRI TIDAK DAPAT MENERIMA KEKALAHAN SESEORANG CALON. NAMPAKNYA MEREKA TIDAK SANGGUP MENERIMA KEPUTUSAN DEMOKRASI. RAFIDAH AZIZ SENDIRI PUN SUKAR MENERIMA KEKALAHANNYA DI TANGAN SHAHRIZAT. INIKAH CONTOH YANG BAIK KEPADA AHLI?

megat dogol said...

bujai, dari dulu sampai sekarang, umno sukar diubah walaupun perhimpunan seperti ini melaungkan perubahan.

apa yang berubah selepas ini? kita tengok sendiri laaa....

putat said...

bole blah la umno!

abuk pun tarak. korang jo yg kaya!

Anonymous said...

how to wage a war on money politics, bro?

to be active in politics, you must have at least some money.

dont tell me that the grassroot members will have to bear all your costs!

all this is auta!

mat gagah said...

najib kena tegas memimpin umno. yang kalah, mestilah mengaku kalah dan menerima suara majoriti. kalau tak, akan padamlah semangat perpaduan dalam umno.

bujai said...

sdr AAT, saya setuju. cuma biarlah keputusan pemimpin atasan tu tidak memihak kepada yang atas-atas je...

dak asan said...

salam bang,

apo abang dapek sokong kj ni?

tengok tak ado apo pun!

bujai said...

dak asan,

memang tak dapek apo tapi setidak-tidak eh den gaso pueh tengok ado anak mudo yang bersemangat macam dio dalam pemudo.

oghang lain nak kato apo, kato lah. den pedulik apo!

ikan kekek said...

ARRRGGGGHHHH! BOSAN LA CAKAP PASAL TOPIK UMNO NI.

AKU PUN AHLI UMNO GAK TAPI TAK GILA MACAM PEMUDA NI. DIORANG YANG SOKONG KJ KE, MUKHRIZ KE, TOYO KE, SAMA JE. BANGANG!

darasunti said...

CHANGE!

CHANGE!

CHANGE EVERYTHING IN UMNO, INCLUDING THE LOGO AND THE SONG!

MELUAT!

BKT SELAMBAU AND BKT GANTANG WILL TEACH THEM A GOOD LESSON

Anonymous said...

yang berubah mungkin pendekatan tapi taraf hidup ahli bawahan umno akan tetap macam tu. diperbodohkan oleh pemimpin atasan. 2500 perwakilan ke perhimpunan agung tu agaknya dah rasa mereka pun macam menteri, bongkak bahwa kuasa mengundi ada di tangan mereka.