Tuesday, March 24, 2009

Semangat Harun Idris dalam diri KJ...

Bermulanya perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini bermakna berakhirnya era penguasaan presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dipilih menjadi Perdana Menteri pada 30 November 2003.

Datuk Seri Najib Razak yang sudah pun secara sahnya menjadi pemimpin No.1 parti apabila lawannya Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan daripada semua bahagian tahun lalu, sudah pasti inginkan satu pasukan baru yang mampu memperkukuhkan Umno, mengembalikan kedudukannya di mata rakyat Malaysia amnya dan berupaya 'memujuk' semula ahli parti akibat kekalahan besarnya pada pilihanraya umum ke-12 awal tahun lalu.

Apa yang menarik kali ini ialah pemilihan kerusi timbalan presiden yang hanya menemukakan dua menteri Kabinet dan bekas menteri besar, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib apabila naib presiden dan juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditegah bertanding selepas Lembaga Disiplin Umno mendapatinya 'bersalah' atas tuduhan politik wang baru-baru ini.

Turut menarik perhatian ialah pertandingan dua penjuru bagi kerusi Ketua Wanita yang bakal menemukan penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Begitupun, fokus tulisan saya kali ini lebih menjurus kepada pemilihan Ketua Pemuda Umno yang ditandingi naib ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Biarpun dikenakan 'amaran' oleh Lembaga Disiplin kerana 'kesalahan ringan' yang dilakukannya, Khairy atau KJ tetap ingin meneruskan perjuangannya.

Dalam 'posting' kali ini, saya dan rakan-rakan yang lain secara terang-terang ingin menyatakan sokongan terbuka terhadap KJ, tokoh politik muda yang dianggap ramai sebagai 'political wallaby' kerana kehadirannya secara mendadak di dalam Umno.

Menjelang perhimpunan agung kali ini juga, beliau adalah calon yang paling banyak dihentam, difitnah dan dimaki-hamun dengan kata-kata kesat oleh ahli Umno, yang hampir semuanya orang Melayu.

Saya dan ramai rakan lain yang pernah menjadi wartawan, pegawai tinggi kerajaan dan ada antaranya yang pernah berkhidmat pada zaman pentadbiran Tun Razak, mempunyai 'argument' dan pendirian sendiri terhadap anak muda ini.

Pertama, kami melihat ada semangat Datuk Seri Harun Idris pada pemuda ini. Harun ialah bekas Menteri Besar Selangor yang paling lama memerintah (1964-1976) dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Pemuda di bawah Harun adalah kumpulan sayap Umno yang paling kuat. Biarpun menjadikan kerajaan Tun Razak ketika itu sebagai 'punching bagnya' kerana pendekatan 'kerajaan dalam kerajaan' yang dibawanya, Harun tetap berani dan teguh mempertahankan bahawa ahli Umno perlu berani memperjuangkan hak parti di tanahair sendiri dan harus berani mencuba sesuatu yang baru jika ingin memajukan parti, bangsa, agama dan negara.

Keberanian Harun bagaimanapun dilihat sebagai suatu ancaman kepada pentadbiran ketika itu. Oleh kerana itulah dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan dijatuhkan hukuman penjara. Dari dalam pun, beliau terus memberi semangat kepada Pemuda agar ahlinya tidak lari daripada asas perjuangan. Malangnya, hari-hari terakhir beliau dilayan oleh parti sebagai 'Quran buruk'.

Semangat inilah yang kami lihat ada pada diri KJ. Cuma orang Melayu sendiri tidak dapat menerimanya sebagai ketua Pemuda kerana faktor umurnya yang masih muda (33 tahun) serta fitnah yang mereka sendiri tabur tehadap anak muda ini. Mereka amat membandingkan KJ dengan Mukhriz (43) dan Khir (45) tanpa ingin mengerti apakah maknanya peribahasa nenek-moyang mereka 'kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa'.

Memang inilah sifat buruk orang Melayu sendiri dari dahulu hingga sekarang. Fitnah dan umpat-keji pada mereka sudah sebati dalam darah daging sendiri hingga sanggup mengetepikan asas agama Islam bahawa fitnah itu lebih tajam dari mata pedang. Hanya kerana mendengarnya dari mulut orang lain, mereka merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk menghebahkannya pula kepada orang lain agar ia disensasikan.

Beginilah nasib KJ. Hanya kerana dia menjadi menantu Pak Lah, dia difitnah dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Memang KJ mempunyai rakan kawan yang sebahagiannya menjadi musuhnya sendiri. Ini berlaku dalam kes dia dikenakan amaran oleh Lembaga Disiplin Umno minggu lalu kerana tuduhan politik wang.

Tidak ramai yang tahu bahawa tuduhan yang dikaitkan di Sabah itu berlaku TIGA BULAN SEBELUM KJ MENAWARKAN DIRI UNTUK BERTANDING JAWATAN KETUA PEMUDA UMNO'. Jadi, apakah modul yang digunapakai oleh Lembaga Disiplin dalam menjalankan siasatannya ke atas KJ, Ali Rustam dan orang lain yang didapati bersalah?

Dalam 'posting' saya sebelum ini, saya sudah menyebut dengan jelas kenapa saya mempertikaikan siasatan itu dan asas apa yang disandarkan untuk mentakrifkan 'politik wang, rasuah dan sogokan' dalam parti. Umno ialah parti Melayu. Semua orang Melayu adalah penganut Islam. Dalam Islam sendiri pun, kita bukan saja dituntut menyiasat segala tuduhan malah menyiasat orang yang membuat tuduhan itu dari segi kredibilitinya. Si pengadu mestilah orang yang boleh dipercayai, kuat beribadat, tidak pernah berbohong dan ikhlas.

Orang yang membuat aduan terhadap KJ itu pula ialah orang yang sama melaungkan slogan 'HIDUP KJ' pada banyak majlis yang dihadiri anak muda ini. Hanya kerana dia gagal memperolehi apa yang dipintanya daripada KJ, maka dia menjadikan KJ sebagai mangsa balas dendamnya. Ramai tidak mengetahui akan perkara sebenar hal ini.

Apa yang penting bagi orang Melayu dalam Umno ialah memperbesar-besarkan fitnah terhadap KJ dan kalau boleh membunuh karier politiknya. Orang Melayu sendiri tahu bahawa fitnah tanpa bukti itu adalah antara dosa besar dalam Islam. Malangnya, orang Melayu hari ini cuma mengharamkan daging bagi sedangkan ramai antaranya menghalalkan riba, zina, sumbang mahram, arak, judi, makan harta anak yatim dan sebagainya.

Inilah yang merosakkan parti dan keutuhan Melayu sejak akhir-akhir ini. Pegangan yang kuat kepada budaya fitnah-memfitnah inilah yang akan menjahanamkan Umno jika pemimpin berwibawa tidak diberi peluang memimpin parti dan orang Melayu pada masa akan datang.

Melayu hari ini juga sudah tidak lagi dapat menerima takdir bahawa KJ memang akan bertemu jodoh dengan anak Pak Lah dan akan menjadi Ahli Parlimen Rembau serta naib ketua Pemuda Umno. Takdir ini jugalah yang meletakkan KJ di dalam dilema selama ini. Masakan tidak, oleh kerana ramai yang meminta bantuannya untuk mendapatkan surat sokongan Pak Lah untuk projek itu dan ini, dia merasakan terpaksa melayannya.
Bagi Pak Lah pula, beliau sentiasa tidak keberatan memberikan surat sokongan bila perlu walaupun beliau sendiri tidak ada kuasa mutlak untuk menganugerahkan sesuatu projek kepada sesiapa pun. Semua surat biasanya dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan atau Menteri Kewangan Kedua untuk dipertimbang dan diluluskan. Seperti KJ, Pak Lah juga mempunyai ramai kawan. Apabila ada rakannya yang benar-benar layak memperolehi sesuatu kontrak, mereka difitnah lagi sedangkan syarikat terbabit benar-benar memenuhi semua syarat yang disebut di dalam kontrak.
Janganlah kita menafikan kenyataan bahawa KJ memang sudah memimpin Pemuda dengan baik. Malah, Hishamuddin sendiri pernah berkata bahawa KJ memang layak dan mampu mengambil alih tugas beliau suatu hari nanti. Kerana itulah Hisham mengosongkan jawatan ini untuk bertanding salah satu daripada tiga kerusi naib presiden. Cuma apabila Mukhriz dan Khir turut menyatakan hasrat untuk merebut kerusi yang sama, ia diterima ramai. Malah, Pak Lah sendiri tidak campur tangan agar jangan ada pertandingan, seperti mana yang dituduh oleh ramai orang, termasuk Tun Dr Mahathir sendiri bahawa KJ mendapat laluan percuma kerusi naib ketua pada 2004 kerana faktor Pak Lah, kononnya Pak Lah sendiri menelefon Hisham agar jangan ada pertandingan untuk jawatan itu. Tuduhan ini masih belum dapat disahkan hingga ke hari ini.
Jadi, siapakah paling layak selain KJ? Untuk mengatakan bahawa Dr Mahathir sendiri tidak campur tangan untuk menaikkan anaknya sebagai ketua Pemuda, tidak dapat diterima sama sekali. Bagi Khir pula, beliau adalah antara tokoh yang turut mendapat pelbagai fitnah dan tohmahan sedangkan siasatan ke atasnya dibuat sambil lewa. Jika faktor usia dijadikan sandaran, maka lebih baiklah perwakilan Umno tidak memilih calon yang sudah tua atau melebihi 60 tahun untuk apa jua jawatan dalam parti. Had persaraan kakitangan kerajaan juga hanya setakat 58 tahun!
Ramai bertanya, benarkah semua calon yang bertanding kali ini tidak menggunakan walaupun 5 sen pun untuk berkempen. Jika begitu, siapa yang membayar kos bil hotel, makan-minum, elaun, tambang dan sebagainya bagi setiap calon ke seluruh Malaysia (kecuali Sarawak)? Duit Umno Negeri? Duit tauke yang rapat dengan calon? Atau wang bahagian?
Orang Melayu sebenarnya sudah lama matang tetapi kematangan dan kewarasan ini tidak digunakan sebaik mungkin, kecuali dalam soal budaya buruk memfitnah dan mencerca orang lain ini.
KJ sudah membuktikan kematangannya pada usia muda. Ini memang sudah takdirnya. Jika benar ada tuduhan bahawa dia dan Reezal Marican menjaga 'lubuk emas' kerajaan serta pembabitannya dalam pelbagai kontrak serta syarikat besar, orang yang menuduhnya perlu berani mengemukakan bukti. Malaysia mempunyai sistem perundangan yang cukup baik untuk menyiasat segala tuduhan yang dilemparkan terhadap sesiapa. Malah, mereka yang selama ini menuduh KJ memiliki simpan berbilion-bilion ringgit di dalam bank luar negara juga patut mengemukakan bukti.
Janganlah kita menjadi satu bangsa yang suka sangat 'membaling batu, sembunyi tangan'! Kalau kita pandai menuduh, maka kita perlu ada bukti yang kukuh. Janganlah kerana kesilapan kecil yang tidak disengajakan dan tidak disedari, kita sudah menghukum seseorang itu sebagai tidak layak menjadi ketua dan ahli politik. Jika begitulah rumusannya, kenapa kita perlu memberi pencalonan yang cukup kepada orang yang pernah dipecat, digantung dan disuruh meletakkan jawatan dalam parti untuk bertanding kali ini?
Begitu jugalah tradisi memilih pemimpin. Perwakilan harus berfikir dengan adil bahawa jika tradisi Umno hanya memberi laluan kepada anak bekas Perdana Menteri, bekas Presiden, bekas setiausaha agung, bekas menteri Kabinet dan anak bekas pemimpin kanan parti untuk diangkat sebagai ketua, orang lain akan berasa kehilangan peluang untuk sama-sama naik. Masakan tidak, jika Hishamuddin ditakdirkan menjadi Perdana Menteri suatu hari ini, nampaknya hanya orang Kedah, Pahang, Johor dan Pulau Pinang saja akan menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Di manakah Najib dan Hisham tanpa Allahyarham Tun Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn? Di manakah politik Mukhriz hari ini kerana ayahnya sendiri tidak menggalakkan anak-anak beliau daripada bergerak cergas dalam parti ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno? Memang Mukhriz tidak ada kekurangan tetapi politiknya sendiri sama mudanya dengan KJ. Bezanya, KJ sudah membuktikan kemampuan sejak lima tahun lalu.
Esok ialah hari pengundian. Perwakilan perlu menilai seseorang calon dari setiap aspek dan bukan dari sudut fitnah dan tohmah yang ada. KJ memang muda tetapi Datuk Harun juga menjadi Ketua Pemuda ketika usianya juga masih muda. Harun juga tidak disangka-sangka akan mampu membimbing Pemuda dan menjadikan sayap Pemuda sebagai yang paling berwibawa pada eranya.
Melayu perlu berani mencuba. Biar semuda mana pun, seseorang calon itu berhak mendapat sokongan jika dia sudah membuktikan kewibawaannya. Datuk Najib sendiri pernah menjadi Ahli Parlimen yang paling muda suatu ketika dahulu.
Janganlah kerana sikap enggan mencuba ini, kita kehilangan calon berkemampuan untuk memimpin parti. Untuk Melayu bangkit dan maju, kita perlukan ramai pemimpin muda seperti KJ, Mukhriz dan Khir. KJ boleh memimpin Pemuda manakala Mukhriz dan Khir boleh digandingkan dalam satu pasukan yang amat bermakna dan mampu bergerak seiring untuk satu maksud - iaitu menyatupadukan orang Melayu agar menjadi bangsa yang berani, berjaya, berdaya saing dan disegani suatu hari nanti.
Umno bukan saja untuk Melayu tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Pemimpin yang baik akan berusaha berjuang untuk agama, bangsa dan negara dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia. Janganlah kita menjadi bangsa yang lemah hanya kerana kita enggan mengiktiraf kemampuan seseorang.
Amat malang jika kita menidakkan hak seseorang calon berwibawa untuk memimpin parti hanya kerana budaya buruk yang kita ada. Amat malang lagi jika kita menafikan hak Umno untuk dipimpin oleh orang seperti ini. Memang Melayu takkan hilang di dunia, tetapi jika Melayu hilang mutu kepemimpinannya, maka akan hilanglah kuasa Melayu untuk berjuang dan mempertahankan segala hak yang ada.
SELAMAT BERSIDANG...

37 comments:

Anonymous said...

sayang tuan menidakkan perasaan akar umbi.. tapi itu hak tuan. kalau benar pun KJ bagus, biarlah dia rasa pahit kegagalan.. mungkin dia akan berjaya dimasa hadapan kalau dia berjaya menguruskan kegagalan ini.. tetapi untuk KJ mengetuai pemuda amat lah bahaya

pendekar bukit said...

Bukit Selambau anak tiri Pembangkan, read it here

http://selamba-u.blogspot.com/2009/03/bukit-selambau-anak-tiri-pembangkang.html

Anonymous said...

Sayang sekali semangat Harun Idris tak dapat dihayati oleh ahli-ahli UMNO dizaman ini. Sekarang mereka lebih mengenali wang ringgit lebih daripada semangat perjuangan

Anonymous said...

jang,

den setuju bonar. kj ni kan budak pandai, sekolah tinggi lai! lagipun dio menantu pm. apo salah eh kalau undi dio? dio pandai buek duit, rezoki diolah. kalau dio ambik duitpun, dia mudo lai. dah tuo nanti dio bertaubatlah. Den raso orang dongki kek dio. org lain kalau tak guno kedudukan untuk buek duit, memang bodohlah jawab eh!

org kg

don kisot said...

dato harun memang pendekar melayu yang hebat. bagaimanapun kj perlu lebih banyak belajar daripada orang lama sebelum dapat melangkah lebih jauh lagi di arena politk umno.

cuma masa akan menentukan

salina, KL said...

satu analisis yang baik, cuma sdr tidak menghuraikan banyak mengenai peranan yang dimainkan oleh datok harun dalam memperteguhkan pemuda umno ketika itu.

saya melihat khairy sebagai pemimpin muda yang masih perlu digilap. walaupun ramai tidak menyukai apa yang sdr sebut sebagai takdirnya, masih ada masa untuknya menerampilkan daya kepimpinan sebenar pemuda.

mukhriz juga tokoh yang sesuai digilap. walaupun banyak bergantung kepada nama bapanya sebagai bekas pm dan bekas presdein umno, dia masih terlalu lembut untuk menandingi kj dan datuk harun

lan jagung said...

aku tak nampak sapa2 pun layak jadi ketua pemuda, kecuali aku sendiri!~

Anonymous said...

sukar untuk digambarkan perbandingan yang sdr buat di antara kj dan arwah dato harun idris.

sememangnya ada unsur tetentu pada kj untuk mencapai kriteria dato harun tetapi ia akan mengambil masa yang lama..

saya suka cara sdr menulis mengenainya

june, sibu said...

I HOPE KJ WIN BUT WITHOUT PAKLAH, HE'LL BE ISOLATED IN THE SENSE THAT HE WILL NO LONGER HAVE THE PRIVILEGE OF AND EASY RIDE

pemuda sabah said...

SIAPA KJ NI?

SIAPA MUKHRIZ NI?

SIAPA PULAK KHIR TOYO NI?

DALAM MEMBUAT PERBANDINGAN, TIGA2 NI ADA POTENSI. MUNGKIN LEBIH PADA KJ ATAU MUKHRIZ.

PEMUDA DAN UMNO PERLU MENGGILAP KJ DAN MUKHRIZ KERANA MEREKA BERDUA DILIHAT MAMPU MEMANDU PEMUDA KE ARAH MASA DEPAN YANG LEBIH GEMILANG.

KALAU HILANG SALAH SEORANG, RUGILAH PEMUDA. HARAP DATUK NAJIB DAPAT BERBUAT SESUATU JIKA SALAH SEORANG DARIPADA MEREKA KALAH.

KJ ADA KELEBIHAN SENDIRI, BEGITU JUGA MUKHRIZ.

BAGAIMANAPUN, KHIR BOLEH DIKORBANKAN

Anonymous said...

i dont agree with u at all. after all the accusation and the warning issued by umno disciplinary board, kj was allowed to contest.

anak melayu pahang said...

INILAH MASALAH PEMUDA SEKARANG. UNTK MEMILIH CALON YANG SESUAI SEDANGKAN MEREKA BERTIGA OK JE. MASING-MASING ADA SUMBANGAN TERTENTU KEPADA PEMUDA DAN PARTI.

KJ RAJIN, MUKHRIZ DISUKAI DAN KHIR PULA PERNAH JADI MB...

SO, MACAM MANA NI?

mior hasmi said...

janganlah kita membelakangkan kehendak akar umbi yang inginkan orang lain turut diberi peluang sama rata menjadi pemimpin atasan.

macam abang bujai cakap, asyik2 anak bekas pm dan anak bekas pemimpin tertinggi parti je diberi laluan mudah dalam politk umno.

pada masa depan, tren ini akan menyebabkan orang melayu tak minat masuk umno dah...

asyik2 muka tu je...

anora said...

bro,
why a sudden change in your stand? why support kj?

bujai said...

dear anora,

all this while i never avowed support to anybody for the pemuda chief post.

however, after some indepth studies and discussions with some veterans, i have to agree that kj has the right package for the job.

cikgu pek said...

biarlah perwaklan yang tentukan hari ini.

sama ada kj atau mukhriz, kami terima. cuma susah sikit nak terima khir toyo je...

sori la khir! heheheheh!!!

Anonymous said...

percaturan politik pemuda memang memerlukan orang yang tegas, berani dan lantang macam kj tetapi apa yang berlaku baru2 ini, termasuk hukuman lembaga disipliln, merencatkan sedikit peluangnya.

walaupun ramai tak sukakan anak muda ini menjadi ketua pemuda, saya rasa hanya dia yang mempunyai ciri2 pejuang muda yang mampan

Anonymous said...

i read your posting with much interest.

and thanks to u, i managed to understand some issues here.

i hated kj so much until i read your blog for the first time...

wak tonik said...

GUA TAKNAK KOMEN APA-APA... CUMA KALAU BOLEH, SURUH KHIR TOYO PIMPIN PEMUDA JAWA JE...

bujai said...

wak,

tak elok cakap macam tu mengenai khir toyo. dia pun ada peluang jugak

siti payung said...

bang, saya sempat bersalam dengan kj semalam.

hensem la mamat ni. saya pun harap dia menang.

macam abang cakap, kecik jangan disangka anak, besau jangan disangka bapak.

Mr.KETAM said...

kah kah kah kah kah bagus betul la cerita lawak ni..

memang KJ bagus tetapi hanya jauhari sahaja tahu apa yang dilakukan oleh KJ di sebalik ketokohan yang ditunjukkan itu.
dan KJ harus pandai mengawal kroni-kroni nya kerana mereka itulah yang akan menyebabkan kejatuhannya nanti.. seperti anak bekas salah seorang PEGAWAI POLIS yang telah arwah itu.Mereka ini SOMBONG,BONGKAK dan BANGGA DIRI dan KERAP MERUJUK dan MENUNJUK MEREKA KENAL KJ dan PM.
KJ kamu ada harapan untuk generasi baru tetapi harus mengikut JALAN YANG BENAR DAN LURUS..

apa-apa pun semoga Allah menyelamatkan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang batil..

amin..

wassalam

Anonymous said...

inilah saat yang paling menyukarkan pewakilan pemuda untk membuat pilihan.

kecuali, toyo, kj dan kuhriz mempunyai peluang yang sama. kedua-duanya memang diperlukan oleh pemuda dan parti.

Anonymous said...

saya tak nampak pun paklah main peranan untuk membantu kj menang jawatan ni, seperti digembar-gemburkan oleh ramai orang sebelum i

bujai said...

mrKETAM,

siapa anak bekas pegawai polis tu?

bagitahu laaaa...

tks

kawan lamo NST said...

cara lu tulis cerita ni, meleleh je bro.

senak dada gua baca.

jangan pedulik la sapa menang, lu bukan dapat apa pun.... atau memang dah dapat dari kj ke?

oopsss

bujai said...

kawan lamo,

maleh la den nak jawab...

ah sengau said...

HARI PENENTUAN.

SIAPA MENANG, AKAN PIMPIN PEMUDA

SIAPA KALAH PUN AKAN KEKAL AKLI PEMUDA JUGAK..

SEMUA PIHAK KENA RILEKS DAN TERIMA KEPUTSAN YANG DADA TERBUKA (YANG POMPUAN TAK PAYAH LA DADA TERBUKA!)

Anonymous said...

bagi je kat si toyo tu pimpin pemuda. biar dia buat banyak kekayaan lagi.

soman pilah said...

takda siapa boleh saingi semangat datuk harun, jai.

walaupun bapak kau pun harun, kau sendiri pun tak buleh challenge dia... betul tak?

kah kah

gaung yang dalam said...

pemuda perlu kuat. kj memang hebat. mukhriz pun apa kurang. cuma khir toyo jenis tak boleh pakai.

saya harap kj dan mukhriz dapat digandingkan dalam kepemimpinan pemuda.

sayang sekali kalau salah seorang diketepikan daripada memimpinnya.

lindsay said...

who said dr mahathir did not play any part to help mukhriz win the pemuda chief.

he, too wants his legacy to continue.

dont deny this, pls!

Mr.KETAM said...

bujal :biar lah rahsia hehehe

itu lah satu sebab aku tak akan menyokong KJ selagi dia tak kawal kroni-kroni dia supaya tidak tamak dan diajar supaya merendah diri..

Anonymous said...

Just Read,

Jika dipandang dari sudut positif diagnosis yg diberikan sememang ada baiknya.

Namun, jika permintaan DS Najib untuk diberikan satu saf pemimpin yg berwibawa, maka KJ bukanlah calun yg tepat.

Isu2 seperti ECM Libra & terkini penglibatan "Money politic" semestinya diambil kira, bukan disenyapkan.

Menatwork

abdul halim said...

if only you know who kj in reality is, you will regret for what you have said bro.

Anonymous said...

Inilah kecetekan fikiran dan minda orang Melayu sekarang. Hendak memilih pemimpin perlulah tengok daya 'kepimpinan' mereka. Kekuatan kata-kata dari mulut mereka. Kekuatan hujah-hujah dari minda mereka. Keberkesanan dan hikmah dari cadangan mereka. Mereka mestilah orang yang boleh memimpin. Bukan kepala kumpulan samseng dan penyangak. Bukan lembik atau keras orangnya.

Jika dipandang dari susut-sudut di atas, Mukhriz jauh mengatasi KJ. Kenyataan dan tindak-tanduk beliau kebelakangan ini, terutama tentang krisis di Perak, amat 'matang' dan membina.

Beliau memberi cadangan membina supaya PAS bekerja sama dgn BN untuk sama2 mentadbir Perak. Bukannya pergi tunjuk perasaan dan provokasi yang tidak membawa apa-apa faedah hanya sekadar 'main wayang'.

'Main wayang' inilah yg menunjukkan betapa tidak ikhlasnya seseorang pemimpin... Hanya menunjuk-nunjuk. Tunjuk perasaan & provokasi ini adalah budaya DS Anwar Ibrahim. Inilah KJ. Sebulu dgn Anwar.

Anonymous said...

Jangan menyamakan KJ dengan Dato' Harun...
mereka hidup dalam 2 alam yang berbeza...
KJ tak pernah merasai keperitan orang melayu sebelum merdeka dan pasca merdeka...
Jadi semngat perjuangan nya tak sekental Dato' Harun..
Dato' Harun sememangnya pejuang Melayu yang sebenar...